10 PETUA untuk jadi guru CEMERLANG.
Kecemerlangan
sebenar seorang guru tidak boleh diukur pada keupayaan dan kemampuan mengajar
semata-mata kerana fungsi sebenar guru bukan setakat melahirkan pelajar yang
mempunyai pencapaian terbaik dan cemerlang dari segi inteleknya, tetapi juga
merangkumi segenap aspek kehidupan insan iaitu jasmani, emosi, dan rohaninya
dan berakhlak cemerlang ( Hasrat yang tersirat di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
). Berikut 10 petua yang perlu dilaksanakan guru untuk menjadi orang yang
cemerlang :-
1.Guru sebagai PENDAKWAH :
Guru bertanggungjawab bukan saja mengajar dan menyampaikan ilmu kepada
pelajarnya, tetapi juga membentuk mereka menjadi insan sehingga boleh
berperanan mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia melakukan
perkara yang tidak baik.
2.Guru sebagai PENDIDIK :
Guru perlu melaksanakan tugas asasinya untuk membentuk pelajar menjadi
insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani an intelek seperti yang
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebenarnya mendidik bukanlah
tugas guru semata-mata, sebaliknya setiap orang mesti menjadi pendidik.
3.Guru sebagai PEMIMPIN :
Setiap guru bertanggungjawab memberi bimbingan dan pimpinan kepada anak
didiknya. Guru adalah pemimpin sekurang-kurangnya pada peringkat kelasnya. Jika
pengetua adalah pemimpin di sekolah. Guru yang akan melahirkan pemimpin. Oleh
itu, guru yang tidak boleh menjadi pemimpin yang baik, tidak boleh menjadi guru
yang baik.
4.Guru sebagai PEKERJA :
Guru perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti diamanahkan
oleh majikannya. Dengan itu, guru mesti patuh pada arahan yang diberikan
kepadanya.
5.Guru sebagai PENGUSAHA :
Sama
seperti seorang pengusaha, guru juga perlu memiliki sifat inovatif dan kreatif
supaya hasil usahanya mengajar dan mendidik pelajar mencapai keuntungan yang
diharapkan. Keuntungan di sini bukan keuntungan dalam bentuk kebendaan,
sebaliknya kejayaannya melahirkan modal insan yang mempunyai nilai tambah.
Dengan itu,pelajar berkenaan akan menjadi modal insan yang berguna untuk diri
sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Untuk mencapai matlamat ini, guru
mestilah bersedia dan sanggup memberikan kepada pelajarnya ilmu dan kemahiran
lebih daripada apa yang ada dalam sukatan pelajaran.
6.Guru sebagai PROFESIONAL :
Guru mestilah melaksanakan tugasnya dengan secara profesional dengan
mengamalkan sifat seperti berdisiplin, menepati waktu dan tidak pilih kasih
terhadap pelajarnya.
7.Guru sebagai PENGIKUT :
Setiap guru bukan saja perlu menjadi pemimpin tetapi juga pengikut yang
baik. Malah ada cerdik pandai yang menyatakan bahawa mereka yang tidak boleh
menjadi pengikut, tidak boleh menjadi pemimpin yang baik. Sebagai pengikut,
guru mesti menerima dan melaksanakan arahan ketuanya ( Pengetua ).
8.Guru sebagai PEJUANG :
Guru mesti bekerja dan melaksanakan tugas serta tanggungjawabnya dengan
bersungguh-sungguh, bukan bersikap sambil lewa serta melepaskan batuk di
tangga. Malah guru mesti mempunyai agenda yang jelas dalam melaksanakan tugas,
tetapi bukan agenda peribadi, sebaliknya sentiasa meletakkan keutamaan bertugas
untuk mendidik anak bangsanya menjadi orang yang berilmu serta berguna kepada
masyarakat dan negara.
9.Guru sebagai PENYOKONG :
Guru mesti memberi sokongan kepada perkara yang mendatangkan faedah dan
manfaat kepada pelajarnya. Bagaimanapun, sokongan itu mestilah berdasarkan
kebenaran dan berprinsip, bukan sokongan secara membuta-tuli.
10.Guru sebagai orang yang PRODUKTIF :
Guru perlu sentiasa menggunakan masa dan tenaganya dengan cara yang
berkesan sama ada sewaktu di sekolah mahupun selepas waktu persekolahan.
Sehubungan itu, guru tidak boleh beranggapan tugasnya pergi dan balik dari
sekolah sebagai rutin harian yang tidak mempunyai sebarang makna atau sekadar
untuk memenuhi arahan dan tanggungjawab yang diberikan, sebaliknya ia perlu
sentiasa berusaha menggunakan masa dan tenaganya bagi kebaikan pelajar, sekolah
dan masyarakatnya.
Tiga perkara asas yang perlu dimiliki oleh guru untuk
membolehkan mereka memahami dan melaksanakan 10 peranan di atas:-
1. Memiliki ilmu : Guru mesti menguasai ilmu dalam bidang dan
subjek yang diajarnya. Malah guru perlu sentiasa meningkatkan ilmunya dalam
bidang dan subjek berkenaan supaya ilmu dan pengetahuannya seiring dengan
perkembangan semasa.
2. Memiliki kemahiran : Untuk menjadi orang yang cekap dan
berkesan, guru perlu memiliki kemahiran yang diperlukan seperti kemahiran
menyampai dan kemahiran berkomunikasi.
3. Memiliki sikap yang betul : Guru perlu memiliki sikap dan
kefahaman yang betul mengenai tugas dan tanggungjawabnya serta melaksanakannya
dengan sepenuh hati, bukan bersikap sambil lewa. Ia termasuk membuat persediaan
dan persiapan untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar di dalam kelas.

Comments
Post a Comment